Sunday, 8 June 2014

Pilih tajuk atau penyelia dalam PSM ?



Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah S.W.T kerana diberi keizinan untuk menyiapkan projek sarjana muda (PSM) dan diberi peluang untuk mengembangkan kajian ini keperingkat nasional. Saya bukanlah pelajar cemerlang di fakulti, senarai pemegang Anugerah Dekan jauh sekali, tetapi saya cuba jadikan PSM saya sebagai wadah untuk saya mengasah bakat dan untuk menambah ilmu pengetahuan. Kajian yang dilakukan telah dipilih sebagai finalis dalam Innovates Malaysia Design Competition 2014 yang akan bersaing dengan universiti-universiti terkemuka. Selain itu, kajian ini juga diberi peluang untuk dibentangkan dalam IEEE EMBS International Student Conference 2014 di UPM. Disebalik kejayaan yang diraih ini, terdapat seorang insan yang begitu tabah menyelia saya iaitu Dr Afandi Ahmad. Kesabaran dan komitmen yang diberikan olehnya sewaktu penyeliaan ini, saya boleh ketogorikan sebagai penyeliaan yang terbaik.

Jika ditanya , sama ada pilih tajuk atau pilih penyelia ? Saya merasakan kedua-dua elemen itu adalah penting. Dari segi tajuk projek, perlulah memilih projek yang bersesuaian dan mampu memberi sumbangan kepada masyrakat. Jika lebih elok lagi , mampu untuk dikomersialkan. Saya masih ingat sewaktu ingin memilih tajuk. Sebenarnya saya memilih tajuk sendiri, itupun setelah berbincang dengan Dr Afandi dan telah membuat sedikit penyelidikkan sewaktu menjalankan latihan industri di Hospital Pulau Pinang. Saya merasakan tajuk ini mampu untuk diperkembangkan walaupun terdapat beberapa penyelidikkan yang telah dilakukan oleh orang lain. Oleh itu, pemilihan tajuk amat penting. Buang tanggapan projek ‘asal siap’ atau ‘asal ada’, kerana anda tidak akan merasai keseronokkan sewaktu menjalankan kajian.

Pemilihan penyelia juga penting. Jika anda berhajat untuk menjadikan PSM sebagai platform untuk mengubah diri kearah lebih positif, maka pilihlah penyelia yang ‘garang’. Saya masih ingat sewaktu awal-awal dibawah penyeliaan beliau. Ramai yang terkejut apabila saya sendiri memilih beliau untuk dijadikan penyelia. Ada yang mengatakan beliau terlalu tegas, cerewet dan sebagainya. Tetapi, apabila bekerja dengan beliau, saya mula kenal sifat dan karakter beliau. Alhamdulillah, rupanya apa yang dikatakan oleh orang ramai itu, membantu saya untuk kearah yang lebih positif. Beliau mewajibkan pelajar dibawah penyeliaannya memasuki Innovates Malaysia Design Competition. Peluang ini, saya manfaatkan untuk menambah pengetahuan dalam bidang perisian dan mungkin ia berguna pada masa akan datang. Ini kerana pertandingan ini menyediakan kelas-kelas kemahiran perisian secara percuma. Selain dari memasuki pertandingan, kami juga disarankan untuk memasuki IEEE Student Conference. Pernah satu ketika, saya merungut disebabkan terlalu banyak benda harus dilakukan dan agak tertekan. Tetapi, Dr Afandi tetap menasihati dan membantu dengan hikmah walaupun saya tahu beliau sedang marah. Sejak dari itu, saya mula sedar tekanan yang dirasai itu akan menjadikan kita lebih baik jika kita mampu menempuh dengan cara yang betul. Sewaktu penyeliaannya, saya diajar untuk melakukan kerja dengan cermat, berdikari dan bersungguh-sungguh. Apa yang saya boleh katakan di sini, Dr Afandi bukan hanya sekadar penyelia, kerana keprihatinannya ibarat seorang ayah dan keramahannya ibarat seorang sahabat. 

Apa yang dilakukan oleh beliau sepanjang penyeliaannya adalah ingin melihat anak didiknya bukan hanya berjaya dalam PSM semata-mata tetapi berjaya membentuk diri kearah yang lebih baik. Masih teringat kata-katanya “My supervision is NOT only about thesis! Its about life”. Kerana selepas graduasi nilai yang ada pada diri yang akan dipandang oleh majikan bukan hanya PSM.

Akhir kata, kepada rakan-rakan mahasiswa yang akan memilih tajuk PSM, pilihlah tajuk yang bertepatan dan pilihlah penyelia yang komitet terhadap pelajar penyeliaannya. Jadikanlah PSM sebagai medium untuk anda meningkatkan keupayaan diri. Sentiasa keep in touch dengan penyelia. Saya yakin, anda akan berasa puas apabila kajian anda berjaya.

Kepada Dr Afandi, saya ucapkan jutaan terima kasih. Pengalaman bekerja dengan Dr. merupakan pengalaman yang manis dan saya tidak pernah menyesal. Terima kasih juga buat semua staff FKEE yang membantu secara langsung dan tidak langsung. Tidak dilupa kepada ayahanda bonda yang disayangi, sanak saudara dan sahabat-sahabat yang mendoakan.Jazakumullah khairan. 

Doakanlah agar UTHM memenangi Innovate Malaysia Design Competition 2014