Wednesday 11 March 2015

Sunday 15 February 2015

p.a.s.s.i.o.n.a.t.e

Menanam minat dalam sesuatu hal bukan senang. Melainkan ianya semulajadi. Apabila sesuatu benda itu sudah diminati, sepayah mana sekalipun dia tetap akan harungi. Walaupun kadang-kadang penat, tapi disebabkan minat yang mendalam, penat itu tak terasa.

Berlainan dengan yang kurang berminat, penat yang dirasai melemahkan emosi. Lama kelamaan akan bosan dan kecundang. Maka kerja yang dilakukan tidak bersungguh, banyak merungut dan sebagainya.

Saya tertarik dengan Filem '3 Idoit'. Mesejnya cukup jelas,"buat apa yang diminati". Ia amat signifikan dalam mencorak kehidupan. Oleh itu, jika memilih kerjaya, pilihlah bidang yang diminati. Insya Allah, anda akan berjaya dalam bidang tersebut....

Friday 7 November 2014

Amanah

Menjadi seorang pendidik adalah satu amanah yang berat. Tugasnya, bukan hanya mengajar ilmu yang ada dalam modul/silibus tetapi seorang pendidik juga perlu membentuk anak didiknya menjadi insan kamil. Itulah cabaran sebenar seorang pendidik.

Saya pernah diberi peluang untuk menjadi guru sekolah menengah. Saya perlu mendidik pelajar menengah rendah. Pada peringkat umur sebegini, sifat kebudak-budakkan masih ada. Sifat nakal, suka main dan tidak fokus itu lumrah pada usia sebegini. Sangat mencabar sebenarnya. Pada ketika itu, saya banyakkan pembacaan tentang cara mendidik remaja. Rupanya, pada usia sebegini mereka perlu dimotivasi dengan memberikan hadiah atau ganjaran jika mereka melakukan kebaikkan atau berjaya melakukan sesuatu. Saya juga perlu tegas untuk menjadikan mereka 'takut' untuk membuat kesalahan yang berulang. Ini merupakan cabaran bagi saya kerana saya bukanlah garang dan susah untuk marah.

Sekarang saya bertugas di kolej swasta yang memerlukan saya mendidik pelajar dewasa, lepasan SPM dan ada yang lebih berusia dari saya. Cabarannya tetap ada tetapi dengan cara yang lain. Jika disekolah dahulu, saya sendiri yang perlu memberi motivasi dengan cara bercerita, memberi ganjaran, menasihati dan memujuk,  tetapi di sini saya tidak boleh melayan mereka seperti pelajar sekolah. Saya perlu membangkitkan rasa motivasi dalaman mereka agar mereka termotivasi dengan sendirinya. Kaedah ini dipanggil Andragogi. Ada beberapa elemen dalam kaedah ini, iaitu:
  • Kurikulum pendidikan dewasa perlu berpusatkan pelajar.
  • Aktiviti pembelajaran perlu dikaitkan dengan pengalaman pelajar.
  • Pelajar dewasa mempunyai arah kendiri.
  • Pelajar harus dilibatkan dengan semua bentuk penilaian.
  • Pelajar adalah berpusatkan masalah.
  • Guru perlu berfungsi sebagai fasilitator.
Nampaknya saya perlu banyakkan pembacaan dan eksperimen agar kelak saya mampu menjadikan anak-anak didik saya menjadi insan yang beriman dan versatil. 






Apa yang mengembirakan hati seorang guru adalah apabila anak didiknya gembira sebab mendapat ilmu yang sebelum ini belum diketahuinya lalu dia mengucapkan " TQ Sir". Itulah moment yang paling gembira, doakan saya terus istiqamah. Segalanya dari Allah....

Wednesday 5 November 2014

Syukur



Kadang-kadang kita berkehendak kepada sesuatu perkara, jadi kitapun berusaha dan tak putus-putus berdoa tetapi kita tak juga mendapat perkara tersebut. Kadang-kadang kita betul-betul mengelak terhadap satu perkara tetapi akhirnya kita ditetapkan dengan perkara tersebut.

Sebenarnya, apa yang kita berkehendak itu mungkin bukan terbaik untuk kita. Ya, kita merasakan ia terbaik tetapi adakah kita menimbang tara kesannya pada masa sekarang dan akan datang? kesannya terhadap orang lain dan sekeliling kita? tidak... Tetapi apa yang terjadi itu adalah kerana Allah sudah melihat dari segala aspek dan itulah yang  terbaik untuk kita.

Jadi, janganlah mengeluh jika apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan setelah kita berhempas pulas kearah itu. Terima dengan hati yang terbuka dan bersangka baik terhadap Allah. Pasti, hidup lebih bermakna.

Sunday 26 October 2014

Untukmu Adam

Tatkala Allah titipkan kepadamu seorang Hawa yang baik,
yakinlah itu adalah yang terbaik pilihan dari Allah..
Adakah yang lebih baik daripada pilihan-Nya ?
Maka..sayangi,cintai dan bimbinglah dia menuju 
redha Allah sebagai tanda rasa syukurmu pada si PENCIPTA..

Tatkala dirimu mulai tertarik hati kepada wanita lain,
ingatlah saat pertama dirimu Cuba untuk menakluki hatinya..
Begitu susah payah bukan?
Lantas mengapa setelah engkau dapatkan 
begitu mudah untuk engkau mencampakkannya ketepi ?
Sungguh amat rugilah bagi dirimu
melepaskan kekasih halal yang baik akhlaqnya 
demi wanita lain yang hanya cantik wajahnya tapi buruk akhlaknya..

Sedarilah wahai Adam.
wanita yang cantik wajahnya tanpa dihiasi 
dengan kecantikan akhlaq tidaklah sempurna,
walau pada zahirnya mata itu sudah pun terpaut
dengan kecantikannya namun, seiring perjalanan waktu 
manakala kecantikan itu pasti akan pudar, 
rasa tertarik kita kepadanya pun akan pasti akan berkurang.. Kerana cantik tersebut cumalah asbab..
Ibn qayyim al jauziyyah berkata "cinta akan lenyap bersama lenyapnya asbab"

Berbeza dengan wanita yang cantik akhlaqnya.. Baik akhlaknya, 
Insya Allah dia akan tahu 
bagaimana menyenangkan kekasih halalnya.
Isteri itu amanah.. Maka jaga amanahmu dengan sebaiknya duhai adam..

#copypaste

Monday 20 October 2014

Engr. Zulfadhli Osman, Grad IEM

Alhamdulillah...
Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik

"Ia bukanlah sebuah kejayaan digarisan penamat, tetapi ia merupakan pemulaan dalam persaingan kehidupan. Tetapi saya gembira kerana saya telah berjaya bersaing dengan diri sendiri. Sebab saya sebenarnya seorang yang malas. "

Kejayaan ini merupakan berkat doa mak ayah, guru-guru/pensyarah-pensyarah (SK Genting, SK Pulau Betong, SK Kulim, SMK Seri Balik Pulau, Kolej Matrikulasi Kedah, UTHM), sanak saudara, dan rakan-rakan yang mendoakan. Selain itu, ianya hasil didikan dari penyelia yang sabar mendidik tanpa jemu. Sehingga membuat saya jatuh cinta dalam bidang penyelidikkan. 

Terima kasih semua :)

Bersama penyelia, Dr Afandi Ahmad


Sekitar hari konvokesyen....